comscore
Tumpuan :
Nasional

Lupus bahan buangan secara haram, pemandu &  kelindan lori direman

Oleh: Zahir Senapiah

KULAI: Seorang pemandu dan kelindan lori ditahan reman selama 4 hari bagi membantu siasatan kes pelupusan bahan buangan terjadual dipercayai toksik di sebuah longkang di Kampung Pemuda Jaya, Seelong, Kulai, awal pagi semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi terhadap kedua-dua suspek masing-masing berumur 46 dan 48 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kedua-dua suspek ditahan jam 5.30 pagi semalam oleh anggota polis Senai ketika sedang melupuskan bahan buangan terjadual dari sebuah lori ke longkang.

Ia susulan satu laporan polis yang dibuat penduduk kampung yang mendakwa sering terhidu bau busuk dari kawasan longkang berkenaan sejak ahir-akhir ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya telah menjejaki perbuatan kedua-dua suspek sejak sebulan yang lalu sebaik saja menerima aduan penduduk.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak mengumpul bahan buangan terjadual dipercayai sisa toksik merbahaya dari beberapa kilang berhampiran sebelum dilupuskan.

“Antara bahan buangan terjadual yang kita temui di lokasi pembuangan yang dikategorikan sebagai toksik termasuklah minyak enjin terpakai dan beberapa bahan yang dikategorikan sebagai sisa toksik dalam longksang di bawah jejantas” katanya ketika ditemui di lokasi pembuangan di Seelong, pagi tadi.

Ujarnya, pegawai penyiasat JAS berjaya menemui beberapa kesan berwarna hijau dan merah serta cecair berwarna putih dalam longkang yang mengeluarkan bau yang amat busuk.

Apa yang membimbangkan tegasnya, sisa buangan itu kemudian mengalir terus ke anak Sungai Tebrau yang terletak kira-kira 100 meter.

Siasatan lanjut katanya lagi, berjaya menemui sebuah lori yang membawa dua puluh buah intermediate bulk container (IBC) mengandungi cecair berwarna hitam, perang dan putih disyaki bahan buangan terjadual.

Lori berkenaan kemudian disita untuk siasatan lanjut.

Beberapa sampel bahan buangan terbabit telah diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisa.

Kes disiasat dibawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Loading...
Terkini