comscore
Tumpuan :
Nasional

MA63: Tuntutan libatkan implikasi kewangan, perundangan masih dirunding

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

BANGI: Beberapa tuntutan Sabah dan Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam proses rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.

Tidak memperincikan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagaimanapun berkata, tuntutan tersebut adalah yang melibatkan implikasi kewangan dan perundangan.

“Ada banyak (tuntutan) daripada dulu lagi, ada yang dah diselesai. Waktu yang mula-mula dulu apa yang dipanggil kuasa pentadbiran, mana yang di bawah (Kerajaan Persekutuan) diserahkan semula kepada Sabah dan Sarawak.

“Masih ada lagi (tuntutan) yang dirundingkan, (ada tuntutan) yang perlu dibawa ke Parlimen, ada yang membabitkan implikasi kewangan, itu masih kita rundingkan,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tahun 2022 di Ibu Pejabat MPOB di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, sebahagian tuntutan yang diselesaikan telah diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang terkini oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya mengenai formula pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak, Fadillah berkata, ia juga masih dalam rundingan.

 

Pada 20 Januari lalu, Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, mengumumkan keputusan Kerajaan Persekutuan yang bersetuju untuk menaikkan pemberian khas kepada Sarawak sebanyak RM300 juta, manakala Sabah RM260 juta.

Anwar berkata, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal kerana satu formula khusus sedang diteliti dan akan diumumkan tidak lama lagi.

Loading...
Terkini