comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mahkamah Rayuan Perancis tolak tuntutan ‘waris’ Sultan Sulu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Perancis hari ini memutuskan mengekalkan permohonan Malaysia menolak ‘Partial Award’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 berhubung tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata keputusan itu bermakna kumpulan penuntut terbabit tidak boleh bergantung kepada tuntutan palsu mereka bagi apa jua tujuan di Perancis.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said

Mahkamah Rayuan Paris dalam keputusannya mendapati bahawa penimbang tara Stampa telah tersalah dalam mempertahankan bidang kuasanya.

Dalam satu lagi segi, ia juga disifatkan suatu kemenangan buat Malaysia dalam usahanya mengejar remedi undang-undang berhubung isu itu.

Kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said susulan keputusan Mahkamah Rayuan Perancis.

Mengikut kenyataan itu lagi, keputusan itu akan mengakibatkan kekalahan menyeluruh bagi pihak yang menuntut dan pembiaya mereka.

Sebagai sebahagian daripada strategi mereka, pihak menuntut sebelum ini telah menyasarkan aset diplomat Malaysia
di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya) berdasarkan anugerah separa atau ‘Partial Award’ itu.

Justeru berdasarkan keputusan oleh Mahkamah Rayuan Perancis itu, kumpulan penuntut disaran supaya menarik balik sebarang tuntutan mereka di Perancis.

Menurut Datuk Seri Azalina, yang lebih penting keputusan ini ‘memungkinkan’ bahawa Mahkamah Rayuan Paris juga akan membatalkan apa yang dikatakan anugerah akhir atau “Final Award’ berjumlah USD 15 bilion yang dikeluarkan oleh Stampa kepada kumpulan penuntut terbabit.

Tegas Datuk Seri Azalina, Malaysia sedang berusaha agar pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, dan ia diharap dapat menutup ruang penguatkuasaan global yang cuba dibawakan oleh kumpulan penuntut itu setakat ini.

Tambah kenyataan itu lagi, Stampa telah mengeluarkan Final Award itu meskipun pelantikannya sendiri telah dibatalkan oleh mahkamah sama di Sepanyol yang sebelum itu melantiknya sebagai penimbang tara.

Menurut Datuk Seri Azalina tindakan Stampa memindahkan prosiding timbang tara itu ke Perancis dan mengeluarkan Final Awardnya sekali lagi menunjukkan beliau telah menentang keputusan mahkamah Sepanyol.

Pada masa sama ia juga menunjukkan suatu penyalahgunaan kuasa proses timbang tara antarabangsa.

Datuk Seri Azalina yakin keputusan Mahkamah Rayuan Perancis hari ini akan menamatkan usaha pihak penuntut dan pembiaya mereka, Therium untuk menguatkuasakan undang-undang yang tidak sah.

Loading...
Terkini