comscore
Tumpuan :
Nasional

Mahmud Jumaat masih mewakili ibu Zayn Rayyan, sangkal dakwaan dilantik menerusi NGO

Peguam, Mahmud Abdul Jumaat. -FOTO: NSTP

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Peguam Mahmud Abdul Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co memaklumkan beliau masih mewakili ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh anaknya itu.

Perkara itu dimaklumkan Mahmud menerusi kenyataan di Facebook miliknya, yang dibuat berdasarkan pertimbangannya selepas berjumpa dengan keluarga tersebut.

Mahmud juga tampil memberi penjelasan, terutama mengenai kenyataan dibuat datuk mangsa berkaitan tiada pelantikan peguam secara rasmi oleh keluarga itu.

“Kerana itulah saya agak hairan berkenaan dengan butiran (point) pertama kenyataan media yang dibuat oleh datuk arwah tempoh hari mengenai tiada pelantikan peguam secara rasmi oleh keluarga ke atas saya.

“Perlu ke sampai nak buat kenyataan media? Seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap saya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Pada 4 Jun lalu, Mahmud yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan mengambil keputusan menarik diri sebagai peguam pasangan itu berikutan mahu memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya.

Mahmud berkata, tiada langsung isu salah faham daripada pihaknya, media mahupun keluarga Zaim berikutan segala-galanya sangat jelas.

“Kira-kira jam 11 malam pada 31 Mei (Jumaat) lalu, saya dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan dan dikhabarkan ibu bapa arwah (Zayn Rayyan), Zaim dan Isma ditahan pada pagi (Jumaat) dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman keesokannya,” katanya.

Selain itu Mahmud mempersoalkan kenyataan awal keluarga bapa Zayn Rayyan yang menyatakan bahawa beliau merupakan peguam lantikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya ingin tekankan ini bukan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri. Entah dari mana timbul cerita, saya ini dari NGO?

“Masa bila saya mahu mendapatkan ‘sign’ (tandatangan) surat pelantikan rasmi?” soalnya dalam kemaskini di Facebook.

Justeru, katanya, perkara mengenai pelantikan rasmi peguam tidak perlu dibincangkan lagi kerana beliau memang berada di mahkamah pada hari terbabit dan hanya mereka peguam yang dipanggil oleh keluarga berkenaan.

Sementara itu, Mahmud berkata, pada 2 Jun lalu pihak keluarga iaitu datuk Zayn Rayyan mahu berjumpanya kerana datuk kepada Zayn Rayyan tidak berada di mahkamah ketika reman pertama.

“Jadi saya dengan ikhlas mengajak mereka berjumpa dan berbincang dengan saya di pejabat saya pada Isnin walaupun hari cuti umum. Bagi saya, biarlah saya berkorban masa demi mahu memudahkan urusan mereka.

“Selepas perjumpaan itu, keesokannya saya membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu, seperti kenyataan saya apabila dihubungi oleh rakan media.

“Tiba-tiba saya menerima berita, saya tidak pernah dilantik menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Bagi saya itu fitnah! Saya datang mahkamah tempoh hari untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah?

“Mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa? Bukan itu sahaja, keluarga Zaim terutama ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu. Meminta nasihat dan bertanya pendapat saya sebagai peguam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan dihubungi oleh datuk mangsa pada semalam melalui aplikasi whatsApp mengenai isu terbabit dan beliau memohon maaf tentang apa yang berlaku.

“Saya harap isu pelantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini.

“Untuk pengetahuan semua, saya masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan. Kami hadir ke mahkamah tempoh hari mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan). Ini adalah atas pertimbangan saya untuk mewakili ibu Zayn Rayyan selepas berjumpa dengan keluarga mereka,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, Mahmud menjelaskan, beliau seperti rakyat Malaysia lain menginginkan keadilan terhadap arwah Zayn Rayyan yang dibunuh dan diseksa secara kejam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

|  ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini