comscore
Tumpuan :
Nasional

Majistret tegur wanita, laporan polis bukan perkara main-main untuk ugut suami

G Ganesan, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, atas pertuduhan melakukan jenayah ugutan terhadap isterinya, S Premlata, 36, di sebuah rumah di Laluan Maju 9, Taman Idaman Chemor, Chemor, kira-kira 7.30 malam, 7 Ogos lalu. – Foto: NSTP

IPOH: Tindakan seorang wanita yang mahu menarik balik laporan polis terhadap si suami menimbulkan kemarahan majistret.

Wanita terbabit, S Premlata, 36, menyatakan mahu menarik balik laporan terhadap suaminya, G Ganesan, 38, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadapnya, dua minggu lalu.

‘Saya ingatkan kamu, laporan polis bukan sesuatu yang main-main untuk sengaja mengugut tertuduh, untuk tengok dia ikut cakap atau tidak.

“Polis bukan tempat untuk kamu suka-suka hati (hanya) nak tengok dia (tertuduh) menyesal atau tidak, kerana ugutan tetap jenayah,” tegas Majistret, Jesseca Daimis.

Premlata memberitahu mahkamah dia mahu menarik kembali laporan polis kerana memikirkan nasib dua anaknya yang masih kecil selain mahu suaminya itu insaf, biarpun mengakui sebelum ini sudah banyak kali dia diugut tertuduh.

“Saya hendak tarik balik kes sebab anak. Kalau dia buat lagi macam ini, (mahkamah) berilah dia hukuman. Memang sudah berlaku banyak kali (ugutan) namun ini kali pertama dia kena tuduh di mahkamah,” kata Premlata kepada majistret.

Dalam prosiding hari ini, Ganesan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan jenayah ugutan terhadap isterinya di sebuah rumah di Laluan Maju 9, Taman Idaman Chemor, Chemor, jam 7.30 malam, 7 Ogos lalu.

Pertuduhan dibaca bagi kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam, manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Nor Izawani  memohon mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin minimum kerana tertuduh tidak bekerja susulan kemalangan yang dialaminya .

Kehidupannya kini ditanggung Premlata dan pasangan itu mempunyai dua anak berusia empat dan tujuh tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 oleh seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga selain daripada Premlata .

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 September depan.

Loading...
Terkini