comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Palestin sepakat usaha tuntas perlu hentikan keganasan di Gaza

Kedua-dua pemimpin, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Mahmoud Abbas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Israel. – FOTO Reuters

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia dan Palestin sepakat usaha tuntas diperlukan bagi menghentikan sebarang bentuk keganasan di Gaza ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disepakati beliau bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menerusi perbualan telefon bagi membincangkan perkembangan terkini di wilayah bergolak itu.

“Kami juga berharap agar semua pihak dapat berusaha untuk memastikan bantuan kemanusian disalurkan dengan segera kepada rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X, hari ini.

Menurut Anwar, semasa perbualan tersebut, beliau juga menerima penjelasan berhubung serangan yang dilakukan rejim Zionis ke atas orang awam.

Justeru, kedua-dua pemimpin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berkenaan.

Anwar kini berada di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan dijadual menyampaikan ucapan yang antaranya mengetengahkan konflik semasa Israel-Palestin.

Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin dan mencari jalan untuk menoktahkan penderitaan penduduk Gaza susulan tindakan ketenteraan terkini oleh rejim Zionis.

Perdana Menteri turut dijadual menghadap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman esok bagi membincangkan lebih lanjut isu Palestin dan hubungan dua hala.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lalu telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini