comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia sokong Sidang Tergempar PBB hari ini

 

KUALA LUMPUR : Malaysia menyokong gesaan diadakan Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadual bersidang di ibu pejabat PBB, New York hari ini.

Ia bagi membincangkan tindak balas terhadap perang yang berlanjutan antara Palestin dan Israel di Semenanjung Gaza.

Menurut Wisma Putra, Malaysia bersama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula Sidang Tergempar ke-10 pada perhimpunan berkenaan.

FOTO: Reuters

Sokongan itu disuarakan Malaysia susulan ada negara yang menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi sewaktu ucapan dalam Majlis Keselamatan berhubung situasi getir di Palestin yang diduduki Israel, termasuk  Baitulmaqdis Timur.

“Sebagai sebuah negara yang menyokong kuat langkah rakyat Palestin, Malaysia kekal teguh dalam menyuarakan sokongan negara ini terhadap hak pemilikan rakyat Palestin untuk menentukan sendiri daripada pendudukan berpanjangan dan pengilhakan wilayahnya yang diceroboh sejak 1967.

“Sehubungan itu, Malaysia komited untuk menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat pada 24 Oktober dan Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung pada 26 Oktober (hari ini),” kata kenyataan itu hari ini.

Malaysia turut menggesa pengisytiharan gencatan senjata ke atas semua tindakan keganasan termasuk perbuatan ganas, provokasi, hasutan dan kemusnahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, Malaysia mahu memberi peringatan kepada semua negara bahawa tindakan secara berseorangan tidak cukup untuk memperjuangkan hak asasi manusia memandangkan masih ada negara mengabaikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Malaysia berpegang teguh dengan pendirian negara ini bahawa Palestin berhak berdaulat dan memiliki negara merdeka, berdasarkan persempadanan pada 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Selain itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak ke arah penyelesaian konflik yang aman dan damai,” menurut  Wisma Putra.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini