comscore
Tumpuan :
Nasional

Manfaatkan peluang, sumber di Karnival HPPK 2023

Oleh Hanis Aliaa Hidzir

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (HPPK 2023) bakal diadakan di Buhavan Square, Penampang, Sabah mulai 7 hingga 9 Disember 2023.

Pertama kali diadakan di Sabah dengan mengangkat tema ‘Penjaja dan Peniaga Kecil Nadi Ekonomi Madani’, Karnival HPPK 2023 bertujuan mengiktiraf dan meraikan sumbangan besar penjaja dan peniaga kecil kepada ekonomi Malaysia.

Karnival yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri itu akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan, pameran, sesi ceramah dan kaunter perkhidmatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyantuni peniaga dan penjaja kecil di sekitar Tamu dan Pasar Minggu Donggongon, Penampang, Sabah.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, penjaja dan peniaga kecil adalah sebahagian daripada Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang merupakan tulang belakang dan nadi ekonomi MADANI.

“Golongan penjaja dan peniaga kecil ini yang akan terus merangsang persaingan, menjana pekerjaan, menggalakkan permintaan domestik, serta menerajui kemampanan dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.”

“Hal ini menunjukkan tema yang dipilih adalah selaras dengan konsep penjaja dan peniaga kecil yang mampu memberikan sumbangan bermakna dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Bagi membantu pertumbuhan golongan ini, KUSKOP memperkenalkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027 sebagai dokumen perancangan strategik untuk memperkemas dan meningkatkan pembangunan komuniti penjaja dan peniaga kecil di Malaysia.

Pelan itu menggariskan lima teras strategik, disokong oleh 17 strategi dan 29 inisiatif yang dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 86,000 penjaja dan peniaga kecil.

Terdahulu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM300 juta buat penjaja dan peniaga kecil dalam pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober 2023.

Peruntukan di bawah agensi KUSKOP iaitu TEKUN, diberikan untuk kemudahan pembiayaan peniaga kecil seperti usahawan batik, usahawan Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Selain itu, KUSKOP juga merancang pelbagai program kepada golongan penjaja dan peniaga kecil serta telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pelaksanaan tapak food truck, pelaksanaan kad prihatin melalui platform In2niaga, program pemantapan penjaja dan peniaga kecil serta pembangunan pangkalan data penjaja dan peniaga kecil.

“Penjaja dan peniaga kecil boleh mendapatkan khidmat nasihat, bantuan atau penjelasan secara terus daripada pelbagai kementerian dan agensi di reruai pameran sempena Karnival HPPK 2023.

“Pameran kali ini turut disertai oleh MyMall yang merupakan platform pemasaran dalam talian di bawah KUSKOP.”

Kembangkan perniagaan kecil dengan menghadiri Karnival HPPK 2023 dan manfaatkan pelbagai peluang dan sumber yang disediakan.

Ikuti laman media sosial Facebook, Instagram, X dan Youtube KUSKOP untuk informasi terkini.

Loading...
Terkini