comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa eksploitasi seks warga Tanzania diselamatkan, ibu ayam ‘madam’ ditahan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan seorang wanita warga Tanzania yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang yang didalangi sindiket warga senegara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, wanita berusia 29 tahun itu diselamatkan dalam operasi pada Isnin lalu di ibu negara berdasarkan maklumat Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di Kuala Lumpur dan risikan yang dijalankan.

Menurutnya, operasi yang bermula sekitar jam 4.30 petang dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Operasi Bahagian
Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Jelasnya, pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada ‘National Guideline on Human Trafficking Indicators’ (NGHTI) 2.0.

“Wanita warga Tanzania tersebut dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh sindiket yang menguruskan kemasukannya ke dalam negara.

“Wanita tersebut telah dikawal oleh ahli sindiket yang juga merupakan warga Tanzania untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks di samping pasport turut dipegang dan disimpan tanpa kerelaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita berkenaan kini ditempatkan di rumah perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara ‘Interim Protection Order’ (IPO).

Susulan daripada maklumat diperolehi, Ruslin berkata, pasukan operasi mengenal pasti sebuah premis rumah pangsapuri yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket.

Pada awalnya, suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama sehingga memaksa pasukan operasi menyerbu masuk ke premis terbabit.

Seorang wanita warga Tanzania berumur 32 tahun dikenali sebagai ‘madam’ yang disyaki menyalahgunakan kemudahan pas pelajar dengan menjadi ‘ibu ayam’ ditahan.

“JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

“JIM akan terus bekerjasama dengan pihak kedutaan negara terbabit dalam mengesan
dalang dan ahli sindiket lain berhubung maklumat terdapat kegiatan pemerdagangan orang dalam kalangan warganegara tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, modus operandi sindiket yang dikenal pasti adalah menjanjikan pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di negara ini.

Selain itu, ahli sindiket dikesan sering berpindah dari satu kediaman mewah ke kediaman mewah lain bagi mengelak kegiatan jenayah mereka dikesan pihak berkuasa.

Ujarnya, JIM sentiasa memandang serius perkara berkenaan dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah AKTA 670.

“Sabit kesalahan, mana-mana individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

“Malah bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta ATIPSOM yang disabitkan kepada majikan, pekerja atau ejen boleh dihukum dengan penalti yang lebih berat sebagaimana diperuntukkan akta berkenaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada JIM atau menghubungi talian 03-8000 8000 sekiranya terdapat maklumat warga asing yang dieksploitasi.

Ia supaya tindakan undang-undang boleh diambil dalam usaha untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini