comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] MAQIS Johor rampas 16.3 tan sardin dalam tin mengandungi cacing parasit Anisakis sp.

 

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 16.3 tan tin sardin dipercayai dari negara China yang mengandungi cacing parasit Anisakis sp. di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), awal bulan ini.

Pengarahnya, Edie Putra Md. Yusof berkata, parasit itu dikesan dalam sardin berkenaan selepas pihaknya menghantar sampel makanan itu ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis.

Katanya, penemuan itu dikesan selepas pihaknya menyita sebuah lori yang membawa muatan tin sardin dianggarkan seberat 16,320 kilogram bernilai RM83,879 melalui pintu masuk negara.

“Barangan berkenaan telah disita berikutan sardin itu diimport tanpa permit import daripada MAQIS.

“Pegawai MAQIS membuat pemeriksaan lanjut secara fizikal terhadap sardin dalam tin itu sebelum mendapati kehadiran bendasing dalam tin sardin berkenaan”. katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu beberapa sampel tin sardin kemudian telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut sebelum bendasing itu disahkan sebagai cacing parasit Anisakis sp.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, mengimport barangan yang mengandungi perosak, penyakit atau bahan cemar yang berbahaya kepada pengguna dan boleh di hukum di bawah akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun  atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan tiada perosak dan penyakit yang memasuki negara demi menjamin keselamatan makanan negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini