comscore
Tumpuan :
Nasional

Masuk hutan nak ‘healing’, sekali keluar kena cekup

KUANTAN: 23 individu ditahan selepas memasuki Hutan Simpan Kekal Bukit Tinggi, Bentong tanpa permit, semalam.

Operasi penguatkuasaan yang dilakukan menemui kumpulan berkenaan, pemeriksaan dilakukan terhadap individu terbabit mendapati mereka gagal mengemukakan permit kebenaran berada dalam hutan simpan kekal.

Pegawai Hutan Daerah Bentong, Muhamat Azman Yahya, berkata pihaknya mengesan kumpulan terbabit ketika mereka sedang melakukan aktiviti pendakian dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Tinggi.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati semua 23 pendaki lelaki dan wanita tidak memiliki permit memasuki atau berada dalam hutan simpan kekal yang dikeluarkan oleh JPNP.

Menurutnya, pihaknya bertindak tegas dengan menahan kumpulan berkenaan, seterusnya membawa suspek ke Balai Polis Daerah Bentong bagi tindakan laporan kesalahan yang telah dilakukan.

“Semua suspek telah dilepaskan pada hari yang sama dengan jaminan polis. Siasatan lanjut berhubung kesalahan ini akan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat JPNP dibawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Jabatan mengingatkan kepada orang awam yang ingin memasuki hutan simpan kekal di negeri ini perlu terlebih dahulu memohon permit nemasuki hutan simpan kekal yang sah daripada JPNP,” katanya.

Beliau berkata, jabatan tidak akan berkompromi dengan pihak yang masih tidak mematuhi peraturan ditetapkan, tindakan tegas menanti mereka yang dianggap degil dan mencabar undang-undang yang sedia ada.

Muhamat Azman menambah, ini bukan kes pertama pihaknya menahan pelancong yang melakukan aktiviti pendakian di Hutan Simpan Kekal Bukit Tinggi, sebelum ini beberapa kejadian sama telah berlaku dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Alasan tidak mengetahui perlu mengambil permit untuk memasuki hutan simpan kekal menjadi kebiasaan yang diberikan apabila mereka ditangkap.

“Bagi memudahkan orang awam yang ingin menjalankan aktiviti rekreasi di dalam kawasan hutan simpan kekal dan memohon permit, jabatan telah melancarkan sistem e-ecopark pada Jun lalu. Pendaki boleh memohon permit menerusi pautan http://forestry.pahang.gov.my/e-ecopark/sys_login.php,” katanya.

Loading...
Terkini