comscore
Tumpuan :
Nasional

Mat London mula beri respon positif, akan dipindahkan ke wad biasa – Anak 

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, 74 tahun sudah mula memberikan respon positif.

Artikel berkaitan: Banyak organ dalaman rosak, keluarga Mat London bersedia sebarang kemungkinan

Ketika dihubungi Buletin TV9, anak keempatnya, Salmany Akir Ahmad, memberitahu ayahnya akan dipindahkan ke wad biasa, hari ini.

“Perkhabaran yang terbaru, hari ini dia akan dipindahkan ke wad biasa. Mungkin kerana dari reaksi yang dia berikan sejak semalam.”

“Yang terbaharu saya pergi melawat dia, dia dah mula beri reaksi. Kaki dia dah mula bergerak dan bila kita bercakap dengan dia, dia dah boleh respon.”

“Bila saya panggil, pa (ayah) adik datang hari ini, dia pun dah mula mengangguk. Bukan itu sahaja, dia siap tunjuk best (angkat ibu jari).”

Katanya, beliau amat terkejut dan bersyukur dengan perkembangan kesihatan ayahnya itu.

Sebelum ini, ayahnya bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen dan berada di wad pengasingan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bukan setakat itu sahaja, malah katanya doktor mengesahkan yang banyak organ dalaman ayahnya telah rosak.

Terdahulu, pengarah dan pelakon yang dikenali dengan watak Pak Karim menerusi drama Kampong Pisang Bersiri-siri itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur H-K-L sejak 12 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Kemudiannya, beliau terpaksa dipindahkan ke ICU pengasingan bagi tujuan pemantauan rapi.

Susulan paras oksigen rendah dan kadar degupan jantungnya lemah, Mat London terpaksa ditidurkan.

“Kami dari pihak keluarga mengucapkan ribuan terima kasih atas rakan media yang membuat liputan tentang kesihatan papa. Kami juga berterima kasih pada persatuan-persatuan dalam industri filem terutama dari FDAM dan FINAS.”

“Persatuan-persatuan lain seperti seniman karyawan dan persatuan lain. Ramai kawan-kawan kenalan papa datang melawat walaupun masa yang singkat dan kekangan masa. Ada yang mencuri masa penggambaran untuk melawat.”
.
“Terima kasih atas doa dan ingatan pada papa dalam keadaan kesihatan papa sekarang.”

Loading...
Terkini