comscore
Tumpuan :
Nasional

Money Matters ke Sarawak

PETALING JAYA: Episod kedua musim baharu program Money Matters pada hari Sabtu, 5 Ogos ini akan menampilkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam episod khas ini, beliau akan berkongsi kebimbangannya terhadap pengambilalihan MASwings, selepas negeri itu pada dasarnya bersetuju untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu seperti yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan dan bukannya membuka syarikat penerbangan butik sendiri.

Setakat ini, Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk MASwings, untuk membincangkan pemerolehan syarikat penerbangan itu.

“Money Matters akan menemui Tan Sri Abang Johari Tun Openg iaitu Premier Sarawak untuk berbicara dengan lebih lanjut mengenai keputusan kerajaan negeri untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri melalui pemerolehan MASwings.

Beliau juga akan berkongsi tentang kerajaan negeri Sarawak yang bukan sahaja muncul sebagai salah satu kerajaan negeri terunggul, malah mereka juga telah mencapai status yang dihormati di rantau ASEAN dan diiktiraf sebagai satu daripada kekuatan ASEAN,” ujar Josephine Dass, Penerbit Eksekutif bagi program Money Matters.

“Sarawak yang juga dikenali sebagai Bumi Kenyalang menjadi salah satu imej perpaduan berbilang bangsa yang perlu dicontohi dalam kalangan masyarakat majmuk termasuk negeri-negeri semenanjung.

“Berdasarkan perbincangan bersama Premier Sarawak, kami akan meneroka bagaimana untuk memanfaatkan perkara ini dalam pembangunan taraf hidup rakyat Sarawak yang lebih menyeluruh,” tambahnya.

Temubual eksklusif yang diadakan di Kuching bersama Premier Sarawak ini juga akan merangkumi strategi perkembangan pasca COVID-19 bagi negeri Sarawak.

Money Matters episod kali ini akan dihoskan oleh Zahir Kelvin Ong Abdullah dan disiarkan pada 5 Ogos 2023, iaitu Sabtu, jam 5.00 petang di TV3.

Sidang produksi Money Matters diketuai oleh Josephine Dass sebagai Penerbit Eksekutif dan Muhammad Farhan Zainal sebagai Penerbit.

Selepas hampir tiga bulan berehat dari bersiaran, musim baharu program bual bicara bisnes dan kewangan TV3 ini kembali ke kaca televisyen dengan episod pertama pada 29 Julai 2023.

Program Money Matters boleh distrim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my dan dapatkan perkembangan terkini program di akaun rasmi Twitter @MoneyMattersTV3.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan baharu program TV3, layari http://www.xtra.com.my dan ikuti laman sosial media rasmi Facebook, Twitter & Instagram di @TV3Malaysia.

Loading...
Terkini