comscore
Tumpuan :
Nasional

MP, ADUN PH Sabah temui PM bincang isu pembangunan

Oleh Safwan Sawi

PUTRAJAYA: Ahli-Ahli Parlimen (MP) dan  ADUN  Pakatan Harapan (PH) Sabah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini, bagi membincangkan agenda pembangunan di Sabah.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Ali.

Menurut Ewon, pertemuan  membincangkan komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri mengenai agenda pembangunan di Sabah khususnya berkaitan  infrastruktur asas dan keusahawanan.

Katanya, MP dan ADUN yang hadir telah menyatakan pelbagai perkara kepada Anwar termasuk permasalahan di kawasan diwakili masing-masing, antaranya masalah bekalan air, jalan raya, sekolah daif dan klinik kesihatan.

“Tahun ini merupakan ulangtahun ke-60 penubuhan Persekutuan Malaysia. Justeru, kami memaklumkan Perdana Menteri mengenai isihati rakyat Sabah berkenaan pembangunan dan tuntutan rakyat Sabah agar Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan yang lebih besar untuk mengatasi pelbagai keperluan pembangunan di Sabah.

“Perdana Menteri komited terhadap tuntutan rakyat ini dan kami berharap sambutan Hari Malaysia yang ke-60 tahun pada tahun ini memberi makna besar kepada seluruh rakyat Sabah dengan adanya kerajaan persekutuan baharu di bawah teraju pimpinan baharu iaitu Datuk Seri Anwar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri juga ujarnya bersetuju mengadakan lawatan kerja ke Sabah bagi meninjau sendiri  permasalahan rakyat dan dijangka membuat pengumuman penting berkaitan pembangunan negeri itu.

Loading...
Terkini