comscore
Tumpuan :
Nasional

MP GRS gesa siasat Tommy Thomas utus surat mohon maaf kepada Kumpulan Sulu

Tan Sri Tommy Thomas. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melakukan siasatan lanjut terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang pernah mengutuskan surat mohon maaf kepada peguam Kumpulan Sulu bertarikh 19 September 2019.

Gesaan itu dibuat enam Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan; Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.

“Kami ingin menggesa kerajaan untuk membuat siasatan lanjut tentang tindakan mana-mana pihak yang telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan ‘forum shopping’.

“Ini termasuk siasatan lanjut dan terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara yang telah mengutuskan surat kepada peguam pihak penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam surat kepada Kumpulan Sulu pada 2019, Tommy menyatakan kekesalan kerana Kerajaan Malaysia menghentikan bayaran pampasan tahunan kepada kumpulan berkenaan berikutan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Tommy dilantik sebagai Peguam Negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Jun 2018 sebelum meletak jawatan pada penghujung Februari 2020.

Menurut Ahli Parlimen GRS, gesaan itu juga sejajar dengan pendirian mereka sejak dari awal mempertikaikan tindakan bekas Peguam Negara itu dalam menguruskan isu tuntutan tidak berasas berkenaan.

“Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap bekas Peguam Negara itu,” kata kenyataan itu, hari ini.

Ahli Parlimen berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah atas strategi dan pendekatan berkesan yang telah diambil dalam menangani isu tuntutan Kumpulan Sulu.

“Kami menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah kepada kumpulan yang bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan” kata mereka.

Ahli Parlimen GRS turut menyeru Kerajaan Persekutuan memperkukuhkan tadbir urus memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan pada masa akan datang yang bertindak secara unilateral.

Loading...
Terkini