comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid tahun enam maut kemalangan

Murid tahun enam SK Undang, Harraz Mifzal Muslim, 12, maut di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki bersama ibunya terbabit kemalangan di Jalan Lubuk Binjai, Kampung Undang. – FOTO : Ihsan pembaca

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama ibunya terbabit kemalangan di Jalan Lubuk Binjai, Kampung Undang, di sini, petang tadi.

Mangsa Harraz Mifzal Muslim yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Undang itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah mereka di kampung sama.

Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu, Superntendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Katanya motosikal jenis Honda Beat yang ditunggangi mangsa bersama ibunya dikatakan bergesel dengan sebuah lori di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori berusia 31 tahun cuba mengelak daripada terlanggar sebuah kereta yang berhenti untuk masuk ke simpang kanan di lokasi kejadian.

“Pemandu lori tersebut mengelak ke kiri dan bergesel dengan motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah sama.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan ibunya cedera dikaki. Manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan”, katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Polis meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Loading...
Terkini