comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid terjejas banjir boleh hadir sekolah tanpa pakaian seragam selama dua bulan

Foto hiasan

ISKANDAR PUTERI: Kelonggaran untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah sehingga tempoh dua bulan diberikan kepada semua murid dan pelajar terjejas banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, berkata ia bagi memastikan keluarga terjejas banjir tidak terbeban untuk menggantikan pakaian seragam anak masing-masing.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga sudah diarah untuk menyediakan data pelajar terjejas banjir supaya bantuan bersesuaian dapat disalurkan.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga sudah mengumumkan pelajar terjejas banjir diberi kelonggaran memulakan sesi persekolahan hari ini (semalam) tanpa memakai pakaian seragam.

“Apatah lagi keadaan banjir di Batu Pahat dijangka berlarutan lebih sebulan atau mungkin dua bulan.

“Jadi, pelajar di kawasan terjejas banjir di negeri ini diberi kelonggaran dan dibenarkan tidak memakai pakaian seragam sekolah sehingga dua bulan lagi,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Media pada minggu lalu melaporkan, pelajar terjejas banjir di beberapa negeri termasuk yang masih di pusat pemindahan sementara (PPS) diberi kelonggaran hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberi kerana pihaknya tidak mahu membebankan ibu bapa dengan mewajibkan mereka membeli pakaian seragam anak sedangkan masing-masing terkesan dengan bencana.

Hari ini, lima sekolah di Johor dilaporkan masih tidak dapat beroperasi pada hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 akibat banjir.

Ia membabitkan tiga sekolah di Batu Pahat, manakala dua lagi sekolah di Segamat.

Sementara itu, Norlizah berkata, Kerajaan Johor juga akan menyalurkan bantuan gajet kepada pelajar terjejas banjir yang tiada peranti berkenaan untuk mengikuti kelas secara Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Beliau berkata, ia berikutan pihaknya menjangka pelajar terjejas banjir akan mengikuti kelas secara PdPR dalam tempoh antara satu hingga dua bulan.

“Sekolah terbabit dan JPN sedang mendapatkan data murid terjejas banjir yang perlu mengikuti PdPR, namun tiada gajet.

“Kita akan kenal pasti berapa jumlah pelajar yang tiada peranti untuk mengikuti PdPR dan akan salurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa banjir terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini