comscore
Tumpuan :
Nasional

Najib sambung pengajian pasca siswazah di penjara

Datuk Seri Najib Razak. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisi masanya dengan menyambung pelajaran di peringkat pasca siswazah walaupun ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bukan perkara luar biasa bagi seseorang banduan melanjutkan pelajaran ketika menjalani hukuman penjara.

“Di Penjara Kajang, ada juga dalam kalangan banduan yang berjaya menamatkan pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD). Ramai yang tidak mengetahui perkara ini,” katanya seperti dilaporkan Sin Chew Daily.

Najib, 70, menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Dua lagi kes membabitkan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Ditanya sama ada bekas Perdana Menteri itu mempunyai akses kepada media sosial sepanjang berada di penjara, Saifuddin berkata, tidak.

“Dia secara fizikalnya dipenjara di Kajang namun, dia (Najib) ada pasukan medianya tersendiri. Saya dimaklumkan mereka ada ‘username’ dan ‘password’ serta mereka boleh memuat naik pandangannya di media sosial.

“Sama ada dia memiliki akses kepada sebarang peranti pintar, jawapannya ialah tidak,” katanya.

Saifuddin berkata, pandangan yang disampaikan Najib tidak berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berada di Penjara Sungai Buloh sebelum ini.

“Seperti Anwar, ketika beliau dipenjara sebelum ini. Ketika beliau hadir perbicaraan di mahkamah, beliau akan membuat kenyataan spontan atau nota untuk disiarkan. Ia sama seperti itu.

“Najib secara fizikalnya berada di penjara tetapi mindanya bebas,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini