comscore
Tumpuan :
Nasional

“Nak sambut raya, esok, pun sudah tidak bersemangat…”

Mohd Delmi bersama gambar kedua-dua arwah anaknya. – FOTO: NSTP

SIK: “Nak sambut raya, esok, pun sudah tidak bersemangat kerana saya kehilangan mereka buat selama-lamanya,” kata Mohd Delmi Mat Isa yang kehilangan dua anak serentak dalam kemalangan maut di Jalan Teroi Titi Lahar, Yan, malam tadi.

Ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Charuk Tala, Jeniang, di sini, hari ini, Mohd Delmi  berkata keceriaan bersama keluarga membuat persiapan menyambut Aidiladha, esok, bertukar muram

Berita duka mengenai insiden menimpa dua anak lelakinya, Muhammad Zulqarnain, 22, dan Ahmad Firashi, 11, begitu mengejutkan mereka sekeluarga.

Malah, Mohd Delmi, 54, berkata beliau sudah berjanji dengan Ahmad Firashi untuk membawanya menggunting rambut, semalam, sebagai persiapan menyambut Hari Raya.

Ketika kejadian, beliau berkata, Ahmad Firashi masih demam dan beliau sempat memberikannya ubat sebelum dua beradik itu keluar bersama dengan menunggang motosikal untuk pergi memancing di Sungai Dedap, Yan.

Katanya, beliau juga berpesan kepada anak ketiga dan kelima daripada enam beradik itu supaya pulang segera sebelum malam.

“Kakak mereka, Nurin Afiqah, 23, juga berjanji hendak membawa Ahmad Firashi ke Pekan Jeniang, di sini, pada sebelah petang untuk membeli barangan kelengkapan raya.

“Namun, tidak disangka berlaku kemalangan sehingga meragut nyawa dua anak saya itu.

Meskipun reda, Mohd Delmi yang juga pemandu bas persiaran berkata, beliau bersama isteri, Siti Nur Zakaria, 47, cukup terkesan dengan kehilangan dua beradik itu.

“Kali terakhir saya bertemu dua anak itu kira-kira jam 10 pagi semalam ketika mereka bersiap untuk keluar memancing. Mereka berdua memang rapat.

“Saya agak terkilan kerana gagal menghalang mereka pergi kerana Ahmad Firashi masih demam ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, mereka mengetahui kejadian menimpa mangsa selepas dimaklumkan oleh seorang rakan yang datang ke rumah selepas solat maghrib, malam tadi.

“Lembik lutut saya sebaik saja menerima berita itu, malah isteri menangis selepas mendapat panggilan telefon kemudian daripada polis yang mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kami terus ke Unit Forensik, Hospital Yan, untuk melihat keadaan dua anak kami. Saya dan isteri hampir pengsan sebaik saja melihat jasad dua anak kami yang sudah kaku,” katanya.

Mohd Delmi berkata, jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarifi, Jeneri, di sini, pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik maut selepas motosikal jenis Honda RS-X ditunggang mereka bertembung sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Teroi Titi Lahar, kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Pemandu kereta berusia 61 tahun terbabit mengalami kecederaan di bahagian dada akibat kemalangan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini