comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Op Hire 2.0: Lapan individu direman kemuka butir matan palsu RM24 juta

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lapan individu dari beberapa syarikat berbeza ditahan reman kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM24 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun itu dipercayai ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya lewat petang semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

Sumber berkata, syarikat-syarikat tersebut telah mengemukakan tuntutan palsu kepada PERKESO menerusi borang pengesahan pekerja yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM24 juta bagi memperoleh peruntukan di bawah PENJANA untuk melaksanakan program latihan sedangkan program-program tersebut tidak dilaksanakan.

Kesemua suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini dan Majistret Irza Zulaikha membenarkan permohonan reman selama tiga hari terhadap enam suspek bermula hari ini sehingga 18 Mei ini, manakala dua lagi suspek direman empat hari sehingga 19 Mei ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

 

Loading...
Terkini