comscore
Tumpuan :
Nasional

PBT perlu teliti semula pelan pengurusan pokok bersaiz besar

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meneliti semula pelan pengurusan pokok bersaiz besar dan perancangan bandar dengan mewujudkan kawasan atau zon hijau secara khusus.

Profesor Ekofisiologi Pokok Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Hazandy Abdul Hamid, berkata pelan perancangan bandar seperti Central Park di New York, Amerika Syarikat (AS) boleh dicontohi jika hutan bandar mahu diperkenalkan bagi mengurangkan risiko kegagalan pokok.

“Bagi kawasan tepi jalan atau bangunan, perkenalkan pokok bersaiz kecil dan sederhana. Pokok berkayu besar boleh mendatangkan risiko yang tinggi jika tidak diselenggara dengan betul mengikut struktur dalaman kayu yang berbeza.

“Ruang perakaran yang terhad terjadi kerana pembinaan infra seperti laluan pejalan kaki, longkang, kabel bawah tanah dan bangunan, ditambah lagi jika akarnya terganggu atau dipotong untuk tujuan pembinaan. Ini menyebabkan risiko kegagalan pokok akan bertambah,” katanya kepada BH, hari ini.

Hazandy berkata, perubahan cuaca juga menjadi punca kegagalan pokok, terutama ketika musim cuaca panas atau kemarau panjang.

Katanya, ia akan memberi kesan kepada struktur dalaman kayu kerana kekurangan air atau kelembapan pada musim itu mungkin menyebabkan kayu menjadi rapuh.

“Seterusnya, perubahan kepada musim hujan akan menambah semula bebanan kelembapan kayu dalaman yang boleh menyebabkan batang pokok atau dahan yang sudah pun rapuh gagal bertahan sehingga pokok tumbang atau dahannya patah sekiranya berlaku angin kencang.

“Serangan penyakit dalaman kayu akibat serangan kulat atau pun fungus juga boleh menjadi punca pokok berkayu gagal atau tumbang,” katanya.

Beliau berkata, insiden membabitkan pokok tumbang di kawasan bandar bukanlah perkara yang baharu.

“Ia sering terjadi di kawasan bandar yang mempunyai pokok berkayu bersaiz besar. Saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa supaya diadakan panduan pengurusan pokok tua, saya sambut baik.

“Saya juga lebih suka menekankan kepada pengurusan pokok bersaiz besar. PBT atau agensi berkaitan perlu menyediakan peruntukan untuk kawal selia pokok oleh arboris bertauliah (sijil profesional sahaja) tetapi juga perlu menyediakan peruntukan penyelidikan bagi sokongan data saintifik oleh pakar berkaitan pokok dan hutan bandar secara jangka pendek mahupun jangka panjang daripada institusi pengajian tinggi.

“UPM antara sebuah universiti penyelidikan atau institusi penyelidikan yang berkaitan kerana terdapat pakar atau penyelidik pokok berkayu dan hutan bandar serta ada sokongan peralatan penyelidikan dan sumber manusia, terutama pelajar,” katanya.

Kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu, sebatang pokok tua di Jalan Sultan Ismail tumbang ketika hujan lebat dan angin kencang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu maut dan dua yang lain cedera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini