comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM dan TDM gagalkan penyeludupan lembu untuk Aidiladha bernilai RM345,000

Antara lembu yang dirampas menerusi operasi bersama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.-Foto ihsan TDM

TANAH MERAH: Percubaan dua lelaki untuk menyeludup 69 ekor lembu untuk dijual pada sambutan Aidiladha tumpas, apabila berjaya ditahan dalam operasi bersama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.

Dua lelaki berusia 29 dan 37 tahun itu ditahan pada 8.20 malam di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) di kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi satu kenyataan berkata, operasi berkenaan merampas 69 ekor lembu bernilai RM345,000 dan dua treler dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1.345 juta.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan, pasukan operasi bersama PDRM berjaya mengesan dan menahan dua lelaki yang sedang melaksanakan aktiviti penyeludupan lembu di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek adalah penyeludup warga tempatan yang cuba menyeludup lembu masuk ke negara ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, suspek dan barang rampasan kemudiannya diserahkan ke Balai Polis Lalang Pepuyu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan serta penyeludupan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini