comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM mungkin dapatkan bantuan pihak berkuasa negara jiran

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin akan mendapatkan bantuan pihak berkuasa negara jiran dalam menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), komando tentera darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan, Melaka petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ini kerana pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota komando terbabit telah hanyut ke perairan negara jiran selepas pencarian yang masuk hari kedua hari ini menemui jalan buntu.

“Setakat Ini belum lagi penemuan sebab kita menjangkakan hari ni mangsa masih lagi berada di perairan negara kita.

“Namun, kita menjangkakan kemungkinan akan sampai di perairan negara jiran jadi kita akan maklumkan juga kepada pihak berkuasa di sana terutama nelayan di sana sekiranya menjumpai untuk memaklumkan kita.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa telah memasuki perairan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyertai operasi SAR Jeti Kompleks Kuarantin, Kastam dan Imigresen (ICQS) di Bandar Hilir, di sini hari ini.

Menurut Christopher, dalam operasi hari ini, sektor pencarian diperluaskan dalam radius 262 kilometer persegi di sekitar perairan Pulau Undan dan Pulau Besar.

Bagaimanapun, jelasnya, keadaan arus yang terlalu deras pada kedalaman dua meter menyukarkan kumpulan penyelam melakukan pencarian.

Ujar beliau, ia tidak termasuk tahap penglihatan yang terhad pada jarak tidak sampai tiga meter di bawah permukaan laut.

Dalam SAR hari ini, seramai 14 pegawai dan 110 anggota daripada PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),
terlibat operasi berkenaan bermula petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, mangsa dilaporkan hilang ketika menjalani latihan Eksesais Pari Harimau Kursus Juruselam pada kedudukan 1.35 kilometer barat daya Pulau Undan yang berkedalaman 40 meter.

Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus, PULPAK, Sungai Udang di sini.

Operasi SAR turut melibatkan kekuatan 34 anggota dan lima pegawai dari Kem PULPAK.

Loading...
Terkini