comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM, Polis Narathiwat Perkukuh Kerjasama

PASIR MAS: Hubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Kelantan dengan Polis Wilayah Narathiwat, Thailand kini pada peringkat terbaik dan akan terus diperkukuh termasuk menerusi pertukaran maklumat dalam apa jua isu berkaitan jenayah rentas sempadan.

Kerjasama itu terbukti dengan kejayaan membawa pulang wanita Malaysia yang diculik ke Thailand hingga ke Laos, baru-baru ini.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Pol Maj Jeneral Wan Seman Wan Salleh berkata beliau telah mengarahkan 19 ketua polis di Narathiwat supaya mengesan mangsa sehinggalah berjaya dikesan pihak imigresen di Nongkai, utara Thailand.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Imigresen Bangkok sebelum dihantar terus ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Maulidur Rasul dan Kesyukuran di Masjid Jenerih 7, Tok Uban, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Polis Sungai Golok Pol Col Pratya Baite.

Muhamad Zaki berkata pertukaran maklumat bukan sahaja antara Ketua Polis Negeri namun turut melibatkan Ketua Polis Daerah yang bersempadan seperti Pasir Mas dan Sungai Golok.

“Kita berharap hubungan baik ini akan berterusan terutamanya dalam menangani apa-apa isu di sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pendatang haram.

“Segala maklumat yang dikongsi adalah penting supaya segala isu di sempadan dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya. -BERNAMA

Loading...
Terkini