comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja asing bantu tingkat pengeluaran buah sawit FGV

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia, FGV Holdings Bhd (FGV) mengunjurkan peningkatan 10 peratus pengeluaran buah tandan segar (BTS) tahun ini kepada 14.5 juta tan berbanding 13.1 juta tan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata peningkatan itu antara lain akan disumbangkan oleh penambahan pekerja asing ke dalam ladang kumpulan itu pada tahun ini.

Katanya, FGV pada tahun lalu mengalami masalah kekurangan tenaga kerja yang menyebabkan kutipan BTS tidak dapat dioptimumkan tahun lalu.

“Namun, tahun ini kami dijangka akan menerima penambahan hampir 10,000 pekerja asing dengan 5,000 akan diterima bulan depan.

“Ketika ini, kapasiti kami berada pada paras 83 peratus dan ia akan meningkat kepada 100 peratus dengan kehadiran pekerja asing baharu ini.

“Selain itu, kami juga menyasarkan untuk meningkatkan kadar perahan minyak (OER) kepada 21 peratus pada tahun ini daripada 20.3 peratus pada tahun 2022,” katanya pada sidang media sempena lawatan media ke kilang anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid; Pengarah Bahagian Kumpulan, Sektor Perladangan FGV, Mohd Sarian Md Sahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products, Shammim Azad Kamruzaman.

Mengulas lanjut, Mohd Nazrul berkata, pihaknya mengunjurkan purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi separuh pertama tahun ini antara RM3,500 hingga RM4,000 satu tan

“Pembukaan sempadan China juga dilihat akan membantu syarikat dan industri secara keseluruhan kerana akan meningkatkan lagi permintaan terhadap komoditi ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hairul berkata, kumpulan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) lebih RM1 bilion pada tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira RM400 juta akan digunakan untuk tujuan penanaman semula pokok minyak sawit yang sudah tua.

“Selebihnya akan digunakan untuk penggantian semula aset kumpulan bagi menambah baik kecekapan dan untuk memenuhi keperluan pengawalseliaan.

“Jumlah capex ini adalah lebih tinggi dibandingkan dengan 2021 dan 2020 yang mana masing-masing adalah pada RM600 juta dan RM468 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, harga gula mentah yang tinggi di pasaran antarabangsa ketika ini memberi kesan kepada perniagaan gula FGV di bawah MSM Malaysia Holdings Bhd.

“Namun, harga jualan (gula) di Malaysia ini dikawal kerana terdapat harga siling dikenakan, jadi kos kenaikan ini tidak boleh dipindahkan kepada pengguna.

“Maka, ini adalah cabaran buat kami untuk menangani masalah kenaikan harga bahan mentah dan barangan lain termasuk kenaikan harga kos logistik serta pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

“Kami berharap sekiranya kerajaan boleh membantu industri ini, sama ada memberi subsidi kepada pengeluar atau memansuhkan penetapan harga siling. Jika tidak, industri ini tidak akan mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Loading...
Terkini