comscore
Tumpuan :
Nasional

400,000 pekerja asing sudah dibawa masuk ke Malaysia, perlu 100,000 lagi

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Seramai 400,000 pekerja asing sudah dibawa masuk ke negara ini setakat ini bagi mengisi pekerjaan di lima sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia adalah hasil dua dasar sebelum ini iaitu kelonggaran bagi kelulusan pekerja asing dan program rekalibrasi yang dilaksana awal tahun ini.

“Bagi kedua-dua dasar ini kita sudah membawa masuk 400,000 pekerja bagi kelima-lima sektor itu, kita perlu mengisi sekitar 100,000 pekerja lagi.

“Kalau lihat daripada jumlah kuota diluluskan dan rekalibrasi yang sudah daftar, kita yakin boleh penuhi keperluan tenaga kerja ini, walaupun tidak mencapai sasaran suku pertama, mungkin akan berlaku pada suku kedua,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Saifuddin berkata, biarpun kerajaan mempermudahkan pengambilan pekerja, masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan pekerjaan di media sosial.

“Di satu sisi lima sektor ekonomi kritikal mengharapkan pekerja asing, jadi menjadi tugas kerajaan untuk mempermudahkan dari segi polisi.

“Di sisi lain pula, ada juga elemen tidak bertanggungjawab, apabila kita permudahkan, dia bawa masuk dan iklan dalam media sosial, siapa hendak kerja cari mereka dan ini jelas bertentangan dengan dasar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, perkara terbabit dapat dikesan dengan cepat oleh Kementerian Sumber Manusia yang seterusnya dibincangkan pada mesyuarat hari ini.

“Perkara sebegini memberi kesan kepada rating kita dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang.

“Malaysia berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 Pemerhatian menerusi laporan terbaru itu, namun usaha sedaya mungkin perlu ditumpukan bagi meningkatkan tahap ke tier 2, jadi kita tidak mahu ini menjejaskan usaha terutama dalam membanteras elemen buruh paksa,” katanya.

Loading...
Terkini