comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pekerja restoran asam pedas mengaku salah rakam gambar wanita dalam tandas

 

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Seorang pekerja restoran asam pedas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan merakam gambar seorang pelanggan wanita di dalam tandas di premis itu dengan mengggunakan telefon bimbit, pertengahan bulan lalu.

Tertuduh, 18, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai tarikh jatuh hukum selepas menilai laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan cara merakam gambar mangsa ketika sedang membuang air kecil di sebuah restoran tempat dia bekerja tanpa pengetahuan wanita terbabit dengan menggunakan telefon bimbitnya.

Kesalahan itu dilakukan di restoran berkenaan di Jalan PM3, Plaza Mahkota, Bandar Hilir di sini pada jam 3.35 petang, 14 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh atas perbuatannya yang  mengaibkan mangsa selain mencadangkan jaminan RM8,000.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana ia  kesalahan pertama tertuduh selain insaf atas perbuatannya itu.

Anak guamnya juga, menurut beliau adalah pesalah muda yang bekerja di restoran itu dengan pendapatan RM350 seminggu dan perlu menyara kedua-dua ibu bapanya yang hanya bekerja sebagai penjual cendol di tepi jalan.

Majistret Mazana Sinin  membenarkan tertuduh dijamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Loading...
Terkini