comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar tingkatan lima lemas ketika mandi bersama rakan 

MACHANG: Seorang pelajar Tingkatan Lima ditemukan lemas selepas mandi bersama lima rakannya di kawasan perlombongan pasir di Kampung Bagan, Pulai Chondong, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa Muhammad Fahmi Adlan Mohd Fauzul Azli, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad Pangkal Gong, Pulai Chondong disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulai Chondong.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika sedang mandi, mangsa bersama seorang lagi rakannya berenang untuk mengambil baju yang hanyut di kawasan yang dalam.

“Bagaimanapun, mangsa dan rakannya tiba-tiba tenggelam, namun hanya seorang sahaja yang berjaya diselamatkan.

“Mangsa pula mangsa tidak dapat dikesan serta tidak timbul dari permukaan air.

“Rakan mangsa yang lain kemudiannya bergegas memaklumkan kejadian itu kepada orang awam untuk meminta bantuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha pencarian oleh penduduk kampung yang turut memberi bantuan di sekitar kawasan pencarian berjaya menemukan mangsa 10 minit selepas kejadian itu berlaku.

“Bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian adalah disebabkan drowning (mati lemas),” katanya.

Ahmad Shafiki menasihatkan masyarakat terutamanya ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau dan menasihati anak-anak serta mengawasi setiap pergerakan anak masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Elakkan daripada melakukan sebarang aktiviti di kawasan air yang berbahaya dan boleh mendatangkan risiko tinggi serta tidak selamat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini