comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pelaksanaan PADU tidak ditangguh – Fahmi

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mesyuarat jemaah menteri hari ini memutuskan supaya pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) diteruskan dan tidak akan ditangguhkan meskipun timbul beberapa isu berbangkit.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini, sistem yang dilancarkan secara rasmi semalam itu berjalan dengan lancar.

“Isu-isu yang dibangkitkan telah berjaya diselesaikan dalam masa yang sangat singkat. Pemantauan tentang aspek keselamatan juga terus dilakukan dan saya percaya perkara ini telah dititikberatkan oleh Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) pada pasukannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ujarnya, Jemaah Menteri juga merakamkan tahniah kepada pasukan PADU kerana telah bertungkus lumus dalam tempoh singkat untuk memastikan sistem itu tersedia.

Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming menggesa kerajaan supaya menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Menurutnya, langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU, termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.

Justeru, ujar bekas Ahli Parlimen Bangi itu, kerajaan wajar menangguhkan pendaftaran PADU selain mengambil masa untuk membuat pengujian sistem sebelum ia dilancarkan semula.

Terdahulu, Rafizi menerusi aplikasi X rasminya memaklumkan, tiada kelemahan dikesan dalam pengendalian pengesahan semasa Security Posture Assessment (SPA) menggunakan nombor MyKad membabitkan pendaftaran sistem PADU.

Berhubung pertanyaan mengenai ‘Bug/Vulnerability’ (Pepijat/Kelemahan) dalam mengisi maklumat, Rafizi berkata, bagi melicinkan proses pengemaskinian individu, maklumat pengemaskinian boleh dilaksanakan sejurus log daftar masuk tanpa melalui proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

“e-KYC hanya dilaksanakan selepas pengemaskinian maklumat dilaksanakan dan individu ingin membuat pengesahan dan perakuan penghantaran profil.

“Sebarang maklumat yang diisi tanpa eKYC yang disahkan tidak akan diintegrasikan ke dalam PADU. Hanya maklumat yang dikemukakan dari pengguna yang berjaya pengesahan e-KYC dikira sah,” katanya.

Setakat jam 10 pagi tadi, seramai 233,782 pengguna sudah mendaftar dengan sistem berkenaan dengan 118,115 berjaya menyelesaikan pendaftaran dengan e-KYC iaitu bersamaan dengan 71 peratus.

Loading...
Terkini