comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Pemandu lori maut dirempuh kereta

KLUANG : Seorang pemandu maut selepas lori dipandu dipercayai dirempuh sebuah kereta Honda di Kilometer 46.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, hari ini.

Akibat rempuhan, lori yang membawa ayam sejuk beku itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Mohd Nizar Ma’mun berkata, dalam kejadian pada 8.25 pagi, mangsa berusia 39 tahun tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara, pemandu Honda FD berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian membuat kerja-kerja pembersihan jalan setelah memastikan keadaan selamat.

Terdahulu, tular video rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang merakam detik kemalangan maut itu.

Kemalangan menyebabkan laluan lebuh raya arah utara sesak sejauh 20 kilometer.

Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini