comscore
Tumpuan :
Kemalangan

[VIDEO] Guru maut dilanggar lori balak

 

Oleh: Fazli Ahmad

TEMERLOH: Seorang guru maut selepas kereta dipandunya dirempuh lori balak tanpa muatan di Kilometer Dua, Jalan Jerantut – Temerloh dekat Taman Sri Semantan di sini, hari ini.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superitendan Roslee Omar, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 6:30 pagi di mana Perodua Viva ketika itu dalam perjalanan dari arah Mentakab ke Jerantut bertembung lori balak.

Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu lori balak terbabit keluar dari simpang Taman Sri Semantan tanpa memberi laluan kepada kenderaan di jalan utama.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta terbabit R.  Ganasan, 44 tahun guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jerantut, cedera parah di kepala maut di tempat kejadian,”

“Pemandu lori terbabit berusia 58 tahun ditahan untuk ujian toksikolgi dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan maut.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 6:39 pagi.

Menurutnya, sebaik anggota penyelamat tiba di lokasi mendapati pemandu Perodua Viva terbabit tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan anggota penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan “rescue tool.”

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia.” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Loading...
Terkini