comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembangkang bantah bahas LKAN, tak turut serta dalam perbahasan

KUALA LUMPUR: Pembangkang hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan membawa usul supaya dibahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 di Dewan Rakyat.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tindakan itu bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan perlembagan itu menetapkan LKAN perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

“Parlimen Malaysia ini sejak persidangan pertama, tidak pernah mengikut kajian kami, laporan LKAN ini dibahaskan.

Apa yang boleh ialah apabila ada teguran-teguran Ketua Audit Negara dalam laporan mereka itu, kita di Parlimen ini, ada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC yang bertanggungjawab, melihat, meneliti, memanggil segala saksi termasuk menteri untuk beri keterangan.” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Susulan bantahan pembangkang itu, semua ahli parlimen pembangkang tidak mengambil bahagian sepanjang sesi perbahasan usul berkenaan.

Di pihak kerajaan pula hanya 13 ahli parlimennya terbabit dalam perbahasan itu.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Takiyuddin mendakwa langkah kerajaan mengemuka usul berkenaan di Dewan Rakyat bertujuan ‘menghalang’ usul pembangkang daripada dibentangkan ke pengetahuan dewan.

“Kita mengesahkan mungkin begitu (untuk halang usul pembangkang dinaikkan). Kita ada satu RUU persendirian di bawah ‘standing order’ 49, tetapi sehingga hari ini tidak disahkan ia akan diangkat,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang tidak pernah menolak LKAN dibentangkan di Dewan Rakyat, malah menyokong dan menghormati laporan berkenaan yang dibuat secara telus, termasuk syor tindakan dan penambahbaikan yang turut dimuatkan dalam laporan itu.

Terdahulu pagi tadi, persidangan Dewan Rakyat kecoh selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul setuju supaya LKAN 2021 dibahaskan oleh ahli parlimen.

Loading...
Terkini