comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembinaan berhampiran Zon Keselamatan Kereta Api perlu kelulusan APAD

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sebarang projek pembinaan berhampiran struktur kereta api, perlu mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), bagi memastikan keselamatan sistem pengangkutan berkenaan.

Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Al Bakri, berkata APAD akan menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum memberi kelulusan, mengikut Seksyen 8 bawah Peraturan Kereta Api 1998 (Zon Keselamatan Kereta Api).

Beliau berkata, kawasan berkenaan dilindungi daripada sebarang pembangunan, melainkan dengan kebenaran daripada APAD, bagi memastikan operasi rel selamat.

“Sebarang projek pembinaan yang jatuh di bawah Zon Keselamatan Kereta Api, sama ada rizab pertama atau rizab kedua, ia perlu mendapatkan kelulusan daripada APAD.

“APAD akan membuat kajian impak pada infrastruktur atau pier (tambangan) terhadap keselamatan kereta api.

“Mana-mana syarikat yang melanggar peraturan itu, boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada isu kerosakan struktur landasan Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan Stesen Bandaraya, di sini, sehingga menelan masa selama tujuh bulan bermula bulan depan untuk diperbaiki.

Kerosakan yang menimbulkan risiko keselamatan serius itu dipercayai berpunca daripada projek pembinaan hotel 44 tingkat, berhampiran stesen berkenaan.

Mengikut syarat ditetapkan APAD, asas kerja yang dilakukan di kawasan penampan (buffer) pertama, perlu mematuhi jarak 60 meter dari pier, sementara penampan kedua mesti berkedudukan 45 darjah daripada cerucuk.

Mengulas mengenai projek pembinaan hotel 44 tingkat itu, Azlan Shah, berkata pihak syarikat terbabit tidak mendapatkan kelulusan daripada APAD.

“Setakat ini, apa yang kita tahu, apa-apa projek di bawah Zon Keselamatan Kereta Api, sudah meminta kelulusan. Ini termaktub bagi mana-mana kawasan berhampiran projek kereta api, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Express Rail Link (ERL) dan semua perkhidmatan rel.

“Dalam kes ini (projek pembinaan hotel 44 tingkat) memang tiada kelulusan dan kita akan melihat tindakan yang akan diambil. Paling penting, kita akan menunggu laporan daripada perunding. Kita tunggu laporan penuh,” katanya.

Loading...
Terkini