comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pengguna tarik nafas lega enam stesen LRT laluan Ampang-Sri Petaling kembali beroperasi

 

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan operasi tren Transit Aliran Ringan (LRT) di enam stesen laluan Ampang-Sri Petaling yang dihentikan sejak 2 April lalu, mula beroperasi hari ini.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati, kesemua enam stesen yang mula beroperasi dari jam 6 pagi itu beroperasi dengan stabil dan efektif.

Warga kota mula menggunakan perkhidmatan LRT sejak jam 7.30 pagi.

Tinjauan yang bermula pada jam 7.30 pagi iaitu waktu puncak warga kota memulakan aktiviti harian menunjukkan suasana di stesen LRT Bandaraya agak sibuk dan dipenuhi dengan warga kota, namun masih terkawal.

Namun, menjelang jam 9.00 pagi, keadaan sudah agak tenang dan lengang.

Berdasarkan pemerhatian, kekerapa tren ialah selama 6 minit sekali, manakala 8 minit pada waktu puncak.

Tinjauan di stesen LRT Titiwangsa pula keadaan di sana agak ramai kerana ia juga merupakan stesen pertukaran ke Monorel Titiwangsa.

Namun, sepanjang perjalanan, tiada sebarang ganggu teknikal berlaku.

Kerja pembaikan sementara fasa pertama untuk struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya juga dapat dilihat sudah dibaiki.

Namun, pengguna masih perlu menukar daripada menaiki LRT kepada bas jika mereka ingin ke stesen LRT Masjid Jamek.

Oleh itu, perkhidmatan bas perantara percuma yang menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya diaktifkan semula bagi melancarkan perjalanan penumpang.

Hasil pemerhatian, perkhidmatan bas perantara tersebut beroperasi dengan kekerapan setiap 10 minit, dengan sebanyak 10 buah bas disediakan.

Pengguna yang ditemui berpuas hati dengan perkhidmatan yang dibaik pulih. Malah, mereka mengakui kini boleh menarik nafas lega selepas beroperasinya semula stesen-stesen berkenaan.

Seorang pelajar, Farid Salahuddin menyatakan kelegaan setelah semua stesen LRT terlibat berporasi semula.

“Hari ini saya rasa lega sedikit sebab selalunya saya perlu keluar awal sebab berebut dengan orang lain untuk naik bas. Tapi kiranya hari ini dah senang sikit saya nak pergi ke kelas.”

“Tadi saya sampai agak cepat jugalah dari rumah. Jadi kali ini ia lagi permudahkan urusan, sebab kadang-kadang dari Sentul Timur ke Bandaraya macam susah sebab naik bas, lagi-lagi kena berdepan kesesakan lalu lintas di kawasan Titiwangsa.”

Anis Syuhada, pekerja swasta pula mengakui, kekerapan bas yang agak tinggi melancarkan urusan sehariannya.

“Sudah tidak perlu mengejar bas sebab frekuensi banyak setiap hari, jadi rasa lega bila tengok berita semalam.”

“Kalau ikut berita, katanya pembaikan mengambil masa 7 bulan, tapi setakat ini pun dah membantu walaupun kena tukar di Stesen Bandaraya ini. Tetapi untuk saya tidak ada masalah sebab saya masih boleh tukar ke alternatif seperti monorel di Titwangsa untuk ke pejabat di Abdullah Hukum.” Katanya.

Semalam, Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata perkhidmatan operasi tren di enam stesen LRT membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dibuka semula kepada pengguna bermula 6 pagi hari ini.

Stesen terbabit dibuka semula selepas fasa pertama kerja pembaikan sementara struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya selesai dijalankan.

Turut difahamkan, kerja pembaikan fasa dua ataupun secara menyeluruh struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pertengahan Oktober ini, namun ia bergantung kepada penilaian dan kelulusan pihak berkuasa terbabit.

Untuk rekod, 2 April lalu, operasi perkhidmatan LRT di enam stesen terbabit dihentikan kerana tren yang beroperasi tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

Loading...
Terkini