comscore
Tumpuan :
Nasional

Tambakan Laut ‘Pulau Silicon’ mungkin diteruskan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemungkinan besar akan meneruskan tambakan laut dalam projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dengan pembinaan pulau pertama yang dinamakan sebagai ‘Pulau Silicon’.

Manakala, dua lagi pulau buatan yang dirancang pula akan dipertimbang semula sama ada diperkecilkan skop atau dibatalkan selepas kerajaan persekutuan bersetuju untuk membiayai projek pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan perlu mengambilkira perjanjian yang ditandatangani bersama Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDP) iaitu SRS Konsortium Sdn. Bhd. untuk pembangunan ‘Pulau Silicon’ sebelum membuat keputusan berhubung penangguhan projek terbabit.

“Perjanjian kerajaan negeri dan SRS Konsortium berlangsung sejak tahun 2014 lagi. Kita perlu mengambil kira konteks berkenaan dalam membuat sebarang keputusan,” katanya selepas menyempurnakan “Gift of Love Charity Food Fair”, siang tadi.

Katanya, sementara ‘Pulau Silicon’ menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk diteruskan pelaksanaannya, ‘Pulau B’ dan ‘Pulau C’ pula boleh dipertimbang semula berdasarkan keperluan semasa dan masa depan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman semalam telah meminta kerajaan negeri untuk memperkecilkan skop tambakan laut selepas mengumumkan projek LRT akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan pusat.

“Memandangkan kerajaan pusat bersetuju untuk membiayai projek LRT, maka pembinaan ‘Pulau B’ dan ‘Pulau C’ boleh dipertimbang semula, sama ada ditangguh pelaksanaan atau dikurangkan keluasan. Ia tertakluk kepada perbincangan dan rundingan seterusnya.

“Manakala pembinaan ‘Pulau Silicon’ adalah bertujuan untuk mewujudkan Taman Teknologi Tinggi Hijau yang menjadi kesinambungan kepada kelangsungan industri teknologi tinggi di Zon Perindustrian Bayan Lepas. Ia mempunyai matlamat ekonomi yang amat penting, jadi kita akan membuat keputusan sewajarnya setelah melihat konteks secara keseluruhan,” katanya.

SRS Konsortium Sdn. Bhd. dilantik sebagai PDP pada tahun 2014 oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) termasuk pembinaan LRT menerusi pembinaan dan pembangunan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang di bawah projek PSI.

Bagaimanapun, projek tambakan laut menerima bantahan keras daripada komuniti nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana didakwa mengancam ekologi marin dan mencemari alam sekitar.

Jabatan Alam Sekitar bagaimanapun telah memberi kelulusan bagi projek berkenaan dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi semasa pelaksanaannya.

Loading...
Terkini