comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemerintahan baginda yang merakyat selama lima tahun akan dikenang – PM Anwar

Foto: Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat Malaysia mendapat limpahan keamanan dan kesejahteraan di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata pemerintahan baginda yang merakyat selama lima tahun akan dikenang oleh seluruh rakyat.

“Menjunjung kasih KDYMM Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Pemerintahan Tuanku yang merakyat disulam hikmah keadilan serta kebijaksanaan tentunya dikenang rakyat keseluruhannya yang menikmati limpahan keamanan dan kesejahteraan sepanjang tempoh baginda bersemayam di atas takhta selama lima tahun,” katanya dalam hantaran itu.

Anwar berkata, kewibawaanA l-Sultan Abdullah juga merungkai kemelut politik negara dan menggagaskan sebuah Kerajaan Perpaduan.

“Ia membugar kestabilan dan memungkinkan usaha kita untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini ke tingkat tertinggi,” katanya.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Januari 2019.

Esok, tampuk pemerintahan negara bakal mencatat era baharu di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini