comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu 

K Shiva Lingaa didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas enam pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM196,760 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja . – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas enam pertuduhan menipu dengan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu.

Ia berkaitan tuntutan insentif di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM196,760.

K Shiva Lingaa, 30, didakwa menipu seorang kakitangan PERKESO Johor Bahru dengan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja palsu di mana senarai lapan pekerja yang dikemukakannya di dalam permohonan itu bukan pekerja syarikatnya.
​​​​​​​
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat PERKESO Johor Bahru, pada 30 Jun 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh diwakili Muhammad Faizzudin Abd Rafik.

Rais Adha memohon mahkamah mengenakan syarat termasuk jaminan sebanyak RM50,000, seorang penjamin warga tempatan selain pasport antarabangsa tertuduh diserah kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana tertuduh perlu menanggung ibu bapanya selain tidak pernah gagal hadir siasatan di Pejabat SPRM.

Hakim kemudian memerintah tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang warga tempatan.

Sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen pada 6 Disember depan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini