comscore
Tumpuan :
Nasional

Penarikan tauliah Dusuki, Abdullah Khairi selaras titah Sultan Selangor – MAIS

Ustaz Dusuki Abdul Rani (kiri) dan Ustaz Abdullah Khairi (kanan)

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam bagi aktivis politik di negeri ini adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang dibuat 5 Oktober lalu, yang memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ustaz Dusuki Abdul Rani dikeluarkan MAIS.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini berdasarkan alasan ketidak patuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat.”

“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.”

“Dalam hal ini, MAIS memutuskan tidak membuat rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam atas alasan rayuan yang difailkan ini hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ustaz Dusuki sudahpun tamat pada 30 Jun lalu.

“Justeru, titah Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di Negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu juga beliau memberitahu, keputusan tersebut berdasarkan titah Sultan Selangor, selain turut berdasarkan maklumat mengenai status keaktifan Ustaz Dusuki Abdul Rani dalam parti politik termasuk tapisan keselamatan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas keputusan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi penceramah Ustaz Abdullah Khairi pula, keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS juga dibuat selaras titah Sultan Selangor berhubung larangan pemberian tauliah kepada mana-mana aktivis politik.

“Tindakan penarikan balik tauliah ini dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS.”

“MAIS menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.”

“Ini kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam,” katanya.

Loading...
Terkini