comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk dakwa bunyi bising, rumah retak akibat kerja pembinaan

Oleh : Fatin Hanani Sahimi

BANGI : Kira-kira 500 penduduk di Jalan 7/1F, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, di sini, mendakwa berdepan masalah pencemaran bunyi yang mengganggu kehidupan mereka sejak sekian lama.

 

Ia gara-gara kerja-kerja pembinaan di hadapan perumahan terbabit yang bermula sejak 2017.

Malah, ada penduduk memberitahu rumah mereka mengalami keretakan akibat gegaran didakwa berpunca daripada kenderaan berat yang melalui jalan utama.

Seorang penduduk, Mohd Zainizam Saman, 49, pula bimbang kedudukan kren terlalu dekat dengan kawasan perumahan itu mengancam nyawa mereka.

“Ketika itu kren tersebut berada di atas rumah saya dan jiran, saya takut jika angin tiup,akan patah (kren), itu yang kita lihat macam tiada pemantauan daripada segi kerja-kerja pembinaan.

“Saya minta kalau boleh, perlu dielak lagi daripada berlaku perkara ini,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Penduduk, Mohd Zainizam Saman

Bukan itu sahaja, habuk yang tebal turut merimaskan penduduk kerana mereka terpaksa membersihkan perkarangan rumah, tingkap, lantai dan kenderaan hampir setiap hari.

Jalan yang sebelum ini dua laluan, pula sudah berubah menjadi satu laluan kerana sering digunakan kenderaan berat.

Pengerusi persatuan penduduk kawasan perumahan berkenaan Kasim Ismail, 60, pula kesal, kerja-kerja pembinaan berlarutan sehingga malam dan berterusan pada hujung minggu.

“Sepatutnya jika ikut prosedur, pekerja projek perlu melakukan kerja-kerja dari jam lapan hingga lima petang, dan sepatutnya berhenti ikut tempoh masa berkenaan.

“Tetapi sehingga malam masih ada lagi bunyi dan juga pada hari minggu yang sewajarnya dimanfaatkan penduduk untuk berehat,” luahnya.

pengerusi persatuan penduduk

Sementara itu, pemaju projek iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, (PKNS) memaklumkan, selepas perbincangan bersama wakil penduduk, pengurus projek dan Majlis Perbandaran Kajang, (MPKj) yang diwakili Pengarah Perancang, akhir Mei lalu, PKNS disyaratkan untuk menaik taraf jalan terbabit berdasarkan ulasan ‘Road Safety Analysis’ ( RSA )dan ‘Traffic Impact Assessment’ (TIA).

Pemantauan juga katanya akan dilakukan terhadap bunyi bising dan memastikan kerja-kerja pembinaan mematuhi waktu ditetapkan.

PKNS bagaimanapun berkata ia mematuhi peraturan bunyi bising bagi zon industri iaitu di bawah 70 dB.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain ketika ditemui menegaskan pihaknya akan memastikan pemaju mematuhi waktu ditetapkan bagi kerja-kerja pembinaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Najmuddin Jemain

“Waktu yang kita beri secara ‘standard’ untuk kerja-kerja boleh dilaksanakan adalah dari jam lapan hingga lima petang setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu setengah hari dan hari Ahad tidak dibenarkan bekerja.

“Ini adalah kelulusan biasa yang diberi secara umum, kepada semua pemaju,  bagaimanapun bergantung juga kepada permohonan pemaju,” ujarnya.

Mengenai aduan kedudukan kren yang mengundang risiko keselamatan, beliau berkata,  Jabatan Kawalan Pembangunan telah membuat tinjauan dan akan memastikan pemaju mematuhi peraturan ditetapkan.

Loading...
Terkini