comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk resah ular semakin banyak

Foto hiasan

Oleh: Aslina Abu Bakar

PUTRAJAYA: Penduduk sekitar Presint 11 resah gara-gara sering menjumpai ular berkeliaran berdekatan kediaman mereka.

Dakwa penduduk, dalam tempoh seminggu lebih tiga kali orang awam terserempak reptilia itu antaranya spesis ular sawa, tedung dan ular tikus.

Kelibatnya dijumpai bukan sahaja dekat taman permainan, malah laluan pejalan kaki dan kolam renang.

Lebih membimbangkan menjadi ‘tetamu tidak diundang’ bersembunyi dalam rumah penduduk.

Dalam pada itu, baru-baru ini tular di media sosial beberapa ekor ular dijumpai penduduk sebelum ditangkap pengawal keselamatan.

Rakaman video, Zuliera Zariz Azman Aziz itu mendapat respon penduduk yang mengadu turut berdepan situasi sama.

Penjawat Awam, Zuliera Zariz Azman Aziz.

Ada yang mendakwa mereka kerap terserempak dengan ular ketika beriadah di tasik dan tempat awam termasuk laluan murid-murid ke sekolah.

Zuliera ketika dihubungi berkata, kawasan perumahan didiaminya berdekatan dengan paya dan belukar yang menjadi habitat haiwan itu.

“Dua minggu lalu ada ular tikus bersaiz sederhana masuk ke dalam bilik saya, selang  beberapa hari  kemudian kami jumpa pula seekor ular tedung hitam  dekat kolam renang kanak kanak di blok C.

“Selepas empat hari kami jumpa lagi ular tedung hitam bersaiz besar jugak dalam 1.3 meter macam tu di sebelah kondo kami,” katanya.

Dakwanya, kawasan belukar dan paya itu asalnya dirancang bagi pembangunan fasa perumahan dan tempat rekreasi oleh pihak pemaju namun kini terbiar.

Suri rumah, Hazila Hormi berkata, meskipun sudah biasa dengan kehadiran ular namun penduduk bimbang ia akan membiak dan menyerang kanak-kanak.

“Penah berlaku beberapa kejadian contohnya ketika anak saya lima tahun ada seekor ular masuk dalam tadika dia.

“Malah terbaru ada ular berkeliaran di kawasan parking motosikal,”katanya yang berharap pihak berwajib segera memantau dan melakukan tindakan pencegahan segera.

Sementara itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) memaklumkan pihaknya menyarankan beberapa kaedah kepada pihak pengurusan bangunan dalam pengurusan kebersihan kawasan.

Kepada orang awam pula dinasihat menghubungi pihak berkuasa di talian kecemasan, jika ternampak kehadiran ular di kawasan awam atau perumahan bagi tindakan pencegahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini