comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk Taman Sri Muda siap sedia jika banjir lagi

Razif Mat Arbak, 37, meletakkan barang penting di tingkat atas kediamannya Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam bagi membuat persediaan awal menghadapi banjir berikutan musim monsun timur laut. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Ahad ini, genap setahun penduduk di negeri ini, terutama di Taman Sri Muda, di sini, digemparkan dengan kejadian banjir besar yang berakhir dengan kehilangan lebih 10 nyawa akibat bencana itu.

Meskipun setahun sudah berlalu, tragedi hitam itu masih menggamit kenangan pahit terutama kepada penduduk setempat yang merasai kesan kemusnahan akibat banjir besar berkenaan.

Tragedi itu sehingga kini membuatkan penduduk trauma, namun kali ini rata-rata penduduk sudah lebih bersedia sekiranya peristiwa dahsyat yang pertama kali berlaku di kawasan itu berulang lagi.

Bagi penduduk Taman Sri Muda di Jalan Mahir, Razif Mat Arbak, 37, pengalaman tahun lalu itu menyebabkan dia sekeluarga serta penduduk lain di situ sudah lebih bersiap sedia dan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Antara persediaan kami buat, kosongkan rumah bahagian tingkat bawah bagi mengurangkan barang rosak musnah sekiranya berlaku (banjir) lagi.

“Kalau boleh harap tidak berlaku (banjir lagi), sekiranya berlaku juga…sekurang-kurangnya barang (berharga) sudah di tingkat atas (rumah), kita tinggal selamatkan diri dan keluar saja. Tahun lalu kereta juga tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Berbeza pula penduduk di rumah teres setingkat, mereka tiada pilihan untuk memindahkan barang penting kecuali disimpan di dalam kotak atau bekas plastik agar tidak dimasuki air dan diletak di atas rak yang lebih tinggi.

Menurut Azura Sahril, 36, yang juga peniaga kek dan roti secara kecilan di rumah, tarikh 18 Disember tahun lalu tidak dapat dilupakan dan pengalaman itu menjadikan mereka lebih bersedia.

“Macam saya seorang baker (pembuat kuih), saya cuba selamatkan mesin pengadun, ketuhar sebab itu mata pencarian saya. Kos sangat tinggi masa baik pulih (peralatan berniaga) selepas banjir hari itu.

“Sekiranya berlaku juga (banjir) harap air tidak tinggi sebagaimana tahun lalu…di kawasan ini air naik hingga mencecah siling rumah,” katanya.

Sementara itu, Razali Awang, 44 yang tinggal di Jalan Riang berkata, setiap kali hujan, sudah tentu ada kebimbangan banjir berulang terutama bila hujan agak lama.

“Sebelum ini (tahun lalu), kita anggap agak mustahil air akan naik, sekarang bila ada tanda-tanda (hujan tidak berhenti) kita terus kemas rumah, buat persediaan awal.

“Fobia ada tapi kami reda sebab biasa banjir sikit-sikit kecuali tahun lalu paling teruk sepanjang saya tinggal di sini sejak 2000. Lagipun pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Loading...
Terkini