comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pengarah APM Kedah meninggal dunia ketika misi pendakian Everest

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia ketika menyertai misi pendakian Everest.

Berita itu dimaklumkan Ketua Pesuruhajaya APM, (PA) Aminurrahim  Mohamed dalam satu kenyataan selepas menerima pengesahan daripada Chef De Mission, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.

Allahyarham meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi dunia itu, Khamis lalu.

Mangsa disahkan meninggal jam 10.30 pagi semalam waktu Nepal ketika sedang menerima rawatan lanjut di Kem 4.

Sepanjang menjalankan tugas sebagai Pengarah APM negeri, Allahyarham yang berasal dari Papar, Sabah terlibat aktif dalam pelbagai tugasan terutamanya melibatkan bencana di Kedah.

Ia termasuk mengetuai pasukan itu dalam misi bantuan tragedi banjir kepala air di Titi Hayun, Yan dan di Kampung Iboi, Baling.

Ketua Misi Malaysia Everest (ME) 2023, Azim Afif Ishak dalam pada itu berkata ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari Hashim, 33 tahun, sedang melakukan pendakian pada ketinggian 8000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Jenazah dijangka dibawa turun sehingga ke Kem 2 hari ini untuk diterbangkan ke hospital dengan helikopter, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Azim berkata kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di Nepal dan selepas dibawa turun jenazah akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Keluarga Allahyarham juga katanya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Misi ME 2023 adalah percubaan kedua Allahyarham selepas tertangguh tahun lalu disebabkan faktor cuaca.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini