comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penghantar makanan mengaku bersalah, rotan anak tiri hingga cedera

BATU PAHAT: Di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, seorang penghantar makanan mengaku bersalah merotan anak tiri perempuan hingga cedera dalam kejadian di sebuah rumah di Peserai, dekat sini, Mei lalu.

Muhammad Mirza Hasnul Hadi, 25, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menganiayai anak tiriperempuan berusia lima tahun menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di belakang dan kaki.

Kejadian itu berlaku apabila tertuduh menggunakan rotan mencederakan anak tirinya di sebuah rumah di Mukim 3, Peserai pada jam 11 malam, 20 Mei lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seskyen 31 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh dikenakann tambahan hukuman iaitu bon jaminan dengan seorang penjamin supaya berkelakuan baik selama tempoh ditetapkan dan apa-apa syarat difikirkan sesuai oleh mahkamah selain menjalankan khidmat masyarakat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan dua pilihan kepada mahkamah, sama ada tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin atau menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran.

Dalam hujahnya, pihak pendakwaan memberi alasan bahawa jika jaminan ditawarkan, berkemungkinan tertuduh menghilangkan diri selain akan mengganggu saksi dalam kes ini.

Susulan pengakuan tertuduh, mahkamah memutuskan hukuman akan dijalankan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen di sini, esok memandangkan kes ini di luar bidang kuasa Mahkamah Majistret selain tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Tertuduh kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebelum kes disebut semula untuk penyediaan fakta kes serta permohonan tertuduh untuk dibenarkan ikat jamin.

Loading...
Terkini