comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengunjung WTCKL Digalakkan Pakai Pelitup Muka

KUALA LUMPUR : Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) masih menggalakkan pengunjungnya untuk memakai pelitup muka sekiranya mengunjungi premis berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata pihaknya juga akan meningkatkan pelaksanaan langkah keselamatan seperti kekerapan sanitasi dan pembersihan fasiliti di WTCKL.

“Meskipun penggunaan pelitup muka tidak lagi diwajibkan, kami tetap menggalakkan rakan perniagaan dan pengunjung untuk memakainya.

“Ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak sepanjang berada di dalam premis kami, dan memastikan pengalaman yang baik di WTCKL.

“Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) keselamatan operasi kami akan dikekalkan, di mana kakitangan WTCKL akan terus memakai sarung tangan dan pelitup muka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Dengan ketetapan baharu itu, pemilik premis boleh memutuskan sama ada mahu menentukan pengunjung perlu memakai pelitup muka atau sebaliknya jika mahu masuk ke dalam premis mereka.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini