comscore
Tumpuan :
Nasional

Peniaga terpaksa tutup kedai makan akibat gangguan bekalan air

Foto hiasan

SUNGAI PETANI: Peniaga terpaksa tutup sebahagian besar restoran dan kedai makan di sekitar daerah ini selepas mengalami gangguan bekalan air sejak semalam.

Tinjauan di Bandar Laguna Merbok mendapati, hanya beberapa premis beroperasi namun hanya menjual makanan bungkus disebabkan tiada air untuk mencuci pinggan dan membancuh minuman untuk pelanggan.

Ketiadaan bekalan air turut menyebabkan kedai dobi dan kedai mencuci kenderaan tidak dapat beroperasi selain stok air mineral serta air minuman di kebanyakan kedai runcit, pasar mini dan kedai makan turut kehabisan.

Pengusaha restoran, Hamzah Mohamad, 40, berkata, dia hanya menjual roti canai untuk pelanggan yang datang secara bungkus disebabkan bekalan air terputus sejak semalam.

Katanya, mereka hanya berniaga pada waktu pagi hingga tengah hari sahaja, berbanding sebelum ini yang beroperasi sehingga lewat malam.

“Hendak buat macam mana, air paip tak ada, kami terpaksa jual bungkus sahaja, itu pun saya buat hanya 300 keping roti canai pagi ini.

“Stok air mineral juga habis, cuba cari di mana-mana kedai semua habis. Saya harap masalah ini selesai dengan segera bagi membolehkan kami berniaga semula,” katanya.

Pemilik rumah penginapan Berangan Pool Cottage, Badrul Hisham Bahasar berkata, pihaknya membantu mengedarkan 86 karton air mineral kepada pelajar di Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mohd Jiwa yang memerlukan bekalan.

“Hari ini kami menyerahkan 2,016 botol minuman itu kepada pihak sekolah untuk diagihkan kepada pelajar dan guru di sekolah berkenaan disebabkan stok minuman itu habis di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berkenaan kekurangan air mineral di negeri ini terutama di Kuala Muda.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik supaya bekalan air mineral dan air minuman tidak terjejas di pasaran.

Sebarang kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011.

Loading...
Terkini