comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjenamaan semula kerajaan tiga pentadbiran PM telan kos hampir RM62.8 juta.

PENJENAMAAN semula kerajaan di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri sejak 2020 menelan belanja lebih RM62.8 juta. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Penjenamaan semula kerajaan di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri sejak 2020 menelan belanja hampir RM62.8 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah perbelanjaan adalah berdasarkan program jelajah jerayawara yang dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan hingga kini.

Berdasarkan rekod kewangan Jabatan Perdana Menteri katanya, penganjuran program berkaitan penjenamaan semula Kerajaan iaitu Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani, membabitkan peruntukan dibelanjakan sebanyak RM62,764,107.25.

“Menerusi Kerajaan Prihatin, perbelanjaan dicatatkan RM181,752.20, Keluarga Malaysia pula RM62,093,139.05 dan Malaysia Madani menelan belanja RM489,216.00.

“Hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading) mengenai peruntukan dibelanjakan bagi penjenamaan kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin, Ismail Sabri dan Anwar, masing-masing dibawah konsep Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020 manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi dilantik Perdana Menteri Kesembilan selama 14 bulan manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022 dan melancarkan Malaysia Madani pada 19 Januari lalu.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini