comscore
Tumpuan :
Nasional

Penstrukturan semula perjawatan Imigresen tiada implikasi kewangan – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution ketika mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Penstrukturan semula perjawatan di Jabatan Imigresen yang sedang dalam perbincangan kini, tidak akan membabitkan implikasi kewangan terhadap negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia sebaliknya akan menggunakan peruntukan perjawatan yang belum diisi di jabatan itu.

Setakat ini, katanya, keseluruhan perjawatan di Jabatan Imigresen adalah berjumlah 15,560, dengan 14,142 daripadanya sudah diisi.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu bertujuan memperkasakan keupayaan sumber manusia di Jabatan Imigresen berikutan ada jawatan diisi pegawai memiliki kelayakan melebihi kelayakan yang diperlukan untuk tugasan terbabit.

Saifuddin Nasution berkata, perbincangan berkaitan penstrukturan semula perjawatan itu sedang dilakukan antara Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq bin Abdullah.

“Kita sedia maklum jabatan ini mencakupi dua skim perkhidmatan, iaitu Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan keselamatan. Sebahagian besar atau hampir 97 peratus daripada 14,142 jawatan yang sudah diisi itu adalah kategori sokongan.

“Sebahagian daripada pasukan sokongan ini mempunyai kelayakan tinggi tetapi jawatan disandang adalah rendah, sedangkan mereka berupaya untuk mengisi perjawatan… namun pengisian terhad,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Wan Ahmad Dahlan dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Saifuddin Nasution memaklumkan apabila penstrukturan semula perjawatan itu dilaksanakan kelak, ia akan memberi peluang kenaikan pangkat dan laluan kerjaya kepada pegawai serta kakitangan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen juga sedang mengkaji pelaksanaan kaedah baharu pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi mereka yang ada keperluan segera dengan bukti kukuh untuk melakukan perjalanan ke luar negara dalam masa satu bulan, bagi mengurangkan kesesakan di pejabat pengeluaran pasport.

“Permohonan akan diproses dalam masa tiga hari atau kurang seperti proses sedia ada. Bagi pemohon yang tiada keperluan untuk melakukan perjalanan ke luar negara dalam tempoh satu bulan pula, permohonan mereka akan diproses dalam masa 30 hari bekerja,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, kaedah pengeluaran pasport sedemikian diamalkan di negara maju seperti Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 November lalu, Jabatan Imigresen sudah mengeluarkan sebanyak 2,271,736 PMA dengan 987,396 melalui permohonan dalam talian.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat sebanyak 6,189 PMA yang sudah dicetak tetapi tidak dituntut pemohon.

Loading...
Terkini