comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyanyi terlibat nahas, seorang maut

Kemalangan di susur Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Jalan Kuantan-Maran. – Foto: Polis Trafik Kuantan/ Facebook

KUANTAN: Seorang warga emas maut dalam kemalangan yang turut membabitkan vokalis kumpulan Kris, Abdul Halim Mohd Bukhari, di susur Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Jalan Kuantan-Maran, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata berdasarkan laporan, kemalangan jam 10.45 pagi itu membabitkan kereta jenis BMW dan motosikal Yamaha Lagenda.

Katanya, kemalangan menyebabkan penunggang motosikal, Eddy Kusmiran Ambi, 61, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, Abdul Halim, 53, memandu kereta dari arah bandar Kuantan menuju Rompin.

“Setibanya di tempat kejadian dan memandu lurus di lorong kanan, motosikal yang berada di lorong kiri dipercayai mengubah haluan ke lorong kanan secara tiba-tiba.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta cuba mengelak dan membrek tetapi terlanggar belakang motosikal itu.

“Berikutan kemalangan itu, penunggang motosikal yang bekerja sebagai buruh binaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini