comscore
Tumpuan :
Nasional

Perdana Menteri tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi 2 hari

JAKARTA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta pada jam 1.57 petang, waktu tempatan, hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, di Istana Bogor esok, yang memberi peluang kepada Kuala Lumpur dan Jakarta menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

Ini adalah lawatan pertama Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri ke luar negara, dan menjadikan Jakarta sebagai destinasi sulungnya, sekali gus membuktikan hubungan istimewa dipamerkan Malaysia dan Indonesia.

Pelbagai isu akan dibincangkan termasuk kerjasama ekonomi serta potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara, pembatasan sempadan darat dan maritim, serta pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia.

Dalam lawatan itu, lapan memorandum persefahaman (MOU) antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia akan dimeterai dengan jumlah projek dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion.

Manakala, 11 surat minat (LOI) berkaitan penyertaan pelbagai projek pembangunan IKN Nusantara di Kalimantan turut menjadi tumpuan potensi pelaburan daripada Pelabur Malaysia.

Selain itu, Anwar dijadual menyampaikan satu syarahan umum mengenai “Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia” dan mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jakarta.

Pada 2021, Indonesia adalah rakan dagang global ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM95.31 bilion (AS$22.98 bilion).

Pada Januari hingga November 2022, Indonesia adalah rakan dagangan global keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus dengan jumlah RM120.26 bilion (AS$27.31 bilion).

Loading...
Terkini