comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Persiapan giat dilakukan sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI 

 

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja persiapan giat dilakukan bagi memastikan kelancaran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung selama tiga hari mulai esok.

Tinjauan wartawan Juliana Sharin di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, mendapati petugas pelbagai kementerian dan agensi sibuk menyiapkan 36 reruai kaunter perkhidmatan mereka di dalam khemah gergasi.

Pastinya, medium itu akan digunakan sebaiknya untuk memaparkan dasar-dasar dan inisiatif yang  dilaksana sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ia juga bagi menyebar luas dan menjelaskan hala tuju kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat.

Pelbagai tarikan turut menanti pengunjung termasuk Jualan Mega MADANI yang merangkumi Jualan Rahmah, Jualan MADANI Koperasi, Jualan Agro MADANI, Jualan MyGrocer@Wilayah, Jualan Usahawan, Jualan Anekarasa MADANI, Jualan Trak Makanan dan Padanan Perniagaan.

Kaunter diskaun kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus antara yang dijangka menjadi tumpuan.

“Istimewa bagi para pencari kerja, sejumlah 45,000 peluang pekerjaan turut ditawarkan sepanjang program berlangsung menerusi Karnival Kerjaya yang melibatkan 63 buah agensi Kerajaan dan swasta,” kata Pengarah Seksyen Pemantauan dan Keurusetiaan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Nurdiana Puaadi, ketika ditemui di tapak program.

Program di pekarangan stadium itu turut diisi dengan pameran pelbagai aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penganjuran program yang bermula jam 9 pagi hingga 10 malam itu menyasarkan 200,000 pengunjung.

“Pengunjung yang berdaftar juga turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik melalui cabutan bertuah yang akan diadakan sepanjang program berlangsung antaranya hadiah lumayan sebuah rumah PR1MA, motosikal, televisyen, tiket penerbangan ke Dubai dan Istanbul,” ujarnya.

Kemuncak program itu adalah majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan disempurnakan Perdana Menteri  pada 10 Disember dan akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini